Kisah Pengajaran Dari Mertuaku…
Renungan, Masyarakat 1 Comment »Dalam bulan puasa ini, saya seakan kurang ghairah menulis mengenai bisnes. Mungkin ibadah puasa itu sendiri yang menjadikan saya lebih menumpukan kepada perkara-perkara berkaitan kehidupan, ketuhanan dan lebih banyak berfikir mengenai amal jariah yang entah cukup entah tidak, diterima atau sebaliknya… tetapi bukan ini yang ingin saya kisahkan disini.
Apa yang ingin saya ceritakan kali ini ialah mengenai pengalaman membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan sepanjang bulan puasa kali ini. Sebelum inipun saya ada tulis betapa saya amat kecewa dengan kualiti dan ketidaksedapan kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual.
Ianya berbeza pada musim Ramadhan tahun lalu di mana kebanyakan juadah yang dijual kebanyakannya boleh tahan… puas hati dan berbaloi dengan belanja yang dikeluarkan.
Namun pada tahun ini berbeza keadaannya. Adakala saya mengeluh sebaik sahaja menyuap juadah kerana rasanya yang tak berkenan dengan selera saya sehingga ditegur oleh isteri agar jangan merungut dengan rezeki yang ada di depan mata. Tersentak seketika mendengar teguran tersebut kerana sewajarnya saya mensyukuri rezeki yang diberi.
Namun demikian, jauh di dalam hati saya tahu bukannya saya komplen tentang sedap atau tidaknya rezeki itu, tetapi sebenarnya tentang sikap peniaga terbabit yang langsung tak pedulikan kualiti juadah yang mereka jual. Apakah mereka tak rasa juadah mereka itu sedap atau tidak sebelum dijual? Atau mereka tak peduli… modal dah keluar, jadi sedap tak sedap, jual ajelah! Yang penting duit masyukk!
Puas saya berfikir, apakah sebenarnya tujuan mereka ini berniaga? Tidakkah mereka itu sedar kepuasan pelangganlah tunjang sesebuah keusahawanan? Salahkah saya mengharapkan juadah yang saya beli itu cukup sedap sebagaimana yang sewajarnya?
Akan tetapi, dalam berfikir itu, entah kenapa saya teringat cerita bapa mertua saya sekembali dari percutiannya di Beijing, China sebelum Ramadhan baru-baru ini…
Bapa mertua saya dengan bersemangatnya menceritakan pengalamannya melihat keindahan dan kebersihan ibukota Beijing beserta dengan keajaiban yang tidak wujud di negara kita. Malah rombongan beliau berpeluang juga menziarahi dan melihat kehidupan umat Islam yang sememangnya ramai di Beijing.
Bila ditanya bagaimana dengan makanan di sana, saya diberitahu bahawa makanan yang dihidangkan sepanjang percutian tersebut tidaklah sedap, malah adakalanya tawar atau tiada rasa langsung. Seolah menyedari apa yang bermain difikiran saya, bapa mertua saya menjelaskan:
“Depa kat sana tak macam kita kat sini…” (keluarga sebelah isteri saya berasal dari Pulau Pinang). “Kat sini kita makan mesti nak sedap, nak makan macam-macam… tapi depa kat negeri China tu habag mai kat ayah, depa tak kira pasai rasa lagi dah… yang penting, dapat makan tu dah kira bersyukur sangat dah!!!”
Itulah beza hakikat negeri kita dan negeri orang. Di sini saya tak berpuashati apabila makanan yang dibeli tak sedap rasanya tetapi ada tempat lain di dunia ini penduduknya bersyukur kerana dapat menjamah makanan sehingga sedap atau tidak bukan lagi menjadi persoalan…
Renungkanlah…
p/s: Terima kasih ayah mertuaku…






Recent Comments