Suasana negara kita hari ini memang dah tak sama seperti dulu. Sana-sini heboh orang bercakap pasal politik, perkauman, gaduh sana-sini dan tuduh orang lain itu dan ini. Bahkan semakin ramai yang menyorok di belakang komputer berani membuat pelbagai komen yang tak peka kepada sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Terkini kita diuji sekali lagi dengan isu kalimah Allah. Sekali lagi keharmonian kita tergugat. Apabila ramai pemimpin bercakap ikut kepentingan politik masing-masing, rakyat lagilah semakin kelam-kabut. Adakah ini harga yang terpaksa kita bayar kononnya atas nama kebebasan dan keterbukaan?

Kalau kita baca suratkhabar Cina, banyak isu dan berita yang memburuk-burukkan kaum Melayu dan Islam. Mereka berani sekarang ini kerana dasar terbuka media. Orang kita tak bising sebab tak tahu baca mandarin atau kantonis.

Dasar kebebasan dan keterbukaan ini bermula pada era Pak Lah jadi Perdana Menteri. Cakaplah apa sahaja, bincanglah isu apa sahaja asalkan tahu batasan…. tapi apakah semua pihak berusaha secukupnya untuk menjaga batasan itu?

Bahkan wujudnya Majlis Kesefahaman Agama atau IFC (Inter Faith Council) juga wujud berikutan dasar kebebasan dan keterbukaan Pak Lah itu lah. Sejak itu macam2 tuntutan yang dilihat mengancam kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Pada zaman Dr Mahathir, beliau dikatakan zalim dan diktator kerana mengawal media. Sebarang isu atau perkara yang menyentuh sensitiviti perkauman atau keagamaan akan ditapis agar tidak menimbulkan sebarang keresahan di  kalangan rakyat. Sebab itu tidak pernah timbul perkara sebegini di zaman beliau.

Lihatlah Singapura yang jauh lebih maju dan kaya daripada Malaysia. Mereka masih mengawal media kerana menyedari kerajaan mereka yang kecil itu tidak mampu menghadapi sebarang kekacauan yang akan menghancurkan negara tersebut. Lihatlah juga media Indonesia yang terlalu bebas… natijahnya negara itu tak sudah-sudah dilanda krisis dan demonstrasi. Jalanrayanya jem saban hari akibat tunjuk perasaan. Bebaslah katakan…

Saya berpendapat agar kerajaan kaji semula dasar keterbukaan yang digunapakai sejak era Pak Lah.  Sebenarnya tiada apa yang salah dengan dasar tersebut, cuma rakyat Malaysia yang masih belum bersedia ataupun tak tahu bagaimana memanfaatkan keterbukaan dan kebebasan yang diberikan kepada mereka.

Cukup-cukuplah mengata atau memburukkan parti politik lawan, cukup-cukuplah kita menghina sesama kaum dan cukup-cukuplah kita memandang serong kepada agama lain. Kalau tercetus kekacauan, tiada siapa yang akan untung. Nescaya nanti negara kita ini terpaksa dibina sekali lagi seperti pasca Mei 13.