Salam, harapnya anda semua dalam keadaan baik-baik sahaja.

Sebenarnya akhir-akhir ini saya berasa agak sesak dada melihatkan perkembangan politik negara terutama sekali apabila ia melibatkan Perlembagaan Negara dan kepentingan orang Melayu. Namun saya tak berminat nak membincangkan tuntutan kaum bukan Melayu terutamanya yang dibangkitkan oleh wakil rakyat DAP.

Saya boleh faham dan terima tindakan mereka itu kerana ia menunjukkan mereka memiliki keazaman dan kesungguhan untuk membela kepentingan bangsa sendiri. Dah namanya wakil rakyat, maka apa yang mereka suarakan itu juga adalah tugas mereka. Kalaulah kita dilahirkan sebagai bukan Melayu, nescaya kita juga mahukan kesaksamaan dari segala segi.

Soalnya mengapa hanya sekarang begitu berani dan lantang? Dah lama kita dengar slogan menuntut kesamarataan ini iaitu ‘Malaysian Malaysia’ yang dicipta oleh Lim Kit Siang tetapi impaknya tak menggegarkan. Mengapa pula desakan kali ini dirasakan begitu ampuh sekali?

Sebabnya orang Melayu berpecah dan tak mahu bersatu. Hanya disebabkan dendam, gila kuasa dan politiking yang keterlaluan, bangsa Melayu semakin lemah dan relai…. mudah sekali digoyang dan diancam.

Dahlah ketinggalan dari segi ekonomi dan akademik, kekuatan politik yang menjadi tunjang bangsa Melayu di tanah Melayu selama ini juga kian terhakis. Lepas ni apa yang tinggal?

Saya lihat bukan Melayu terutamanya orang Cina tetap teguh bersatu walaupun berlainan ideologi politik. Biarpun mereka terdiri daripada MCA, DAP, ataupun Gerakan… bahkan ramai antara mereka berlainan pegangan agama (Buddha, Hindu atau Kristian), namun perihal kepentingan bangsa mereka tidak sesekali dikompromikan. Mereka sekata dan sehati!

Saya teringat peristiwa 16 tahun lalu (1993). Ketika itu saya merupakan seorang ’salesman’ dan berjaya membuat temujanji dengan salah seorang Pengarah syarikat kumpulan Pasaraya Fajar. Pengarah tersebut tentunya seorang Cina bergelar Datuk (dah lupa namanya) melayan saya dengan baik. Sebenarnya dia terkejut kerana itulah kali pertama beliau bertemu seorang salesman berbangsa Melayu.

Selesai urusan kami (saya berjaya dapatkan kontrak besar!), Datuk tersebut mempelawa saya berbual sambil dihidangkan teh cina. Perkara yang takkan saya lupakan daripada perbualan tersebut ialah tentang kekuatan orang Cina dalam bisnes disebabkan kerjasama, kesepakatan dan jaringan (networking). Bahkan beliau mendedahkan walaupun beliau seorang jutawan, beliau berkongsi modal dengan tiga lagi jutawan Cina lain demi mewujudkan bisnes pasaraya tersebut.

Beliau mempersoalkan mengapa tak ada satupun pasaraya besar milik bangsa Melayu sedangkan ramai juga jutawan Melayu dan pengguna terbesar adalah orang Melayu?

Beliau jawab sendiri persoalan tersebut… sebabnya jutawan Melayu tak mahu bersatu. Kalau boleh semua mahu makan seorang, kaya seorang. Sedangkan hakikatnya kekuatan atau kemampuan kita amat terbatas jika kita berseorangan berbanding bekerja dalam satu kumpulan!

Beliau tanya lagi… ada butut (betul) ka saya cakap? Saya hanya tersenyum pahit… sepahit teh cina yang dihidangkan. Dalam hati… memang betul katanya itu.

Jadi jangan salahkan DAP dengan kerenah mereka. Orang Melayu sendiri yang membuka peluang keemasan ini, takkan mereka nak lepaskan. Pintu pagar dah kopak dan terbuka sedikit, tentulah mereka cuba nak masuk.

Jangan salahkan kaum lain kalau kita sendiri yang lemah… Kita Melayu, tak kira PKR, PAS atau UMNO… semuanya beragama Islam, susah sangatkah nak berpakat? Orang takkan perlekehkan kita kalau kita KUAT!

Kita dok kelahi, depa pakat ketawa kat kita.