Akhir-akhir ini, kehidupan saya banyak dikhabarkan dengan kematian. Berita kematian rakan dan saudara yang kita kenali dan sayangi tentunya mengundang duka.

Pada tahun ini sahaja, saya telah kehilangan beberapa orang rakan. Awal Julai lalu, bapa saudara sebelah isteri yang sangat saya segani pula kembali. Terkini… bapa mertua saya pula meninggal dunia secara mengejut pada malam 28 Julai lalu di rumahnya di AU4, Taman Keramat Tengah,Ulu Kelang.

Untuk pengetahuan anda, saya mempunyai hubungan yang istimewa dengan arwah ayah mertua saya ini. Saya amat rapat dengan beliau. Walaupun beliau seorang yang ‘biasa-biasa’ sahaja (penjual nasi lemak) namun keperibadian beliau sebagai seorang insan amat tinggi dan luhur! Banyak yang saya pelajari darinya mengenai kehidupan.

Walaupun anak2 semuanya sudah dewasa, sudah bekerjaya dan berjaya dalam kehidupan, beliau tetap gigih berniaga nasi lemak. Sebabnya beliau tidak boleh duduk diam dan beliau amat meminati apa yang dilakukannya. Semuanya… ke pasar, memasak dan melayan pelanggan… semuanya dilakukan dengan penuh minat dan ikhlas. Maka tak hairanlah pelanggan beliau ramai dan bisnesnya amat maju. Walau hanya berjualan nasi lemak, pendapatannya lebih daripada pegawai tinggi kerajaan!

Istimewanya arwah… walaupun sibuk dengan bisnes tapi akhirat tidak pernah dilupakannya, malah diutamakan. Seingat saya sejak menjadi menantunya, arwah tidak pernah ponteng solat tahajud. Solat 5 waktu tidak pernah lalai malah zikir serta tasbih sentiasa mesra dibibirnya. Sedekah jariah kepada orang susah pula memang menjadi kebiasaannya.

Selain itu, tidak pernah saya sebagai menantunya mendengar apa2 yang buruk keluar daripada mulutnya, apatah lagi mengata atau mencaci orang lain. Saya kagum betapa arwah sering bersangka baik dengan sesiapapun.

Saya teringat satu peristiwa ketika membantu beliau membeli dan menyusun stok beras dan telur ayam. Dah namanya bisnes nasi lemak, memang di rumah arwah sentiasa ada stok beras dan telur yang banyak. Berpuluh-puluh beg beras 10kg dan beribu2 biji telur! Perkara ini diambil kesempatan oleh jiran2 yang ada antaranya malas pergi ke kedai untuk mendapatkan beras dan telur lalu ambil jalan mudah membeli daripada ayah mertua sahaja… pada harga kos yang tentunya lebih murah daripada yang terjual di kedai!

Saya kurang berpuashati kerana tahu betapa payahnya mengangkut semua barangan tersebut dari pemborong di Chow Kit dan menyusunnya di rumah. Saya tanya beliau, “kenapa ayah jual beras & telur ni pada harga kos? Juallah pada harga yang sama di kedai.  Tak berbaloi rasanya penat-lelah dan kos pengangkutan?” dengan nada kurang puas hati.

Arwah tersenyum sahaja sambil menjawab, “takpalah… kira sedekahlah. Ni kira tolong orang jugak ni…”. Malunya saya kerana betapa besarnya hati arwah jika dibandingkan dengan saya… walaupun saya tahu sangat… jiran2nya memang sengaja tak beli beras dan telur di kedai sebab boleh dapat murah dengan arwah mertua saya ni.

Arwah memang kuat bekerja dan berpegang kepada pesan nabi… ‘bekerjalah kamu seolah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah seolah kamu akan mati keesokan harinya’. Beliau meninggal dunia setelah solat Isyak dan dalam keadaan bersiap-siap untuk memasak untuk jualan hari esoknya.

Bila sampai ke rumahnya setelah dapat berita kematiannya, saya dapati beras sudah direndam, bahan masakan lainnya pun sudah tersedia, bawang, cili, sotong, ayam… hanya menunggu untuk dimasak sahaja. Itu bukti arwah masih bekerja kuat sehingga akhir hayat beliau tanpa menyangka bakal ajal pada malam itu.

Mengikut cerita ibu mertua serta ipar2 yang ada pada saat2 akhirnya, arwah pergi dengan cepat dan mudah tanpa penderitaan yang panjang. Walaupun mengejut kerana beliau seorang yang sihat dan tiada sebarang penyakit, kami redha akan pemergiannya. Walaupun sedih, namun kami gembira kerana beliau pergi dalam keadaan ‘husnul khotimah’ dan penuh dengan tanda2 kematian pada seorang mukmin dan beriman. Alhamdulillah, saya bertuah dapat menyaksikan ‘keajaibannya!’.

Saya bertemu arwah buat kali terakhir 2 hari sebelum kematiannya. Saya sempat bertanya, sampai bila ayah nak berniaga… bila agaknya nak berehat. Ini kerana beliau sering menangguh untuk bersara dari satu Ramadhan ke Ramadhan. Berkata kepada ibu mertua saya pada tahun lepas, bila umurnya 70 tahun, beliau akan bersara. Kepada saya… bila duit simpanannya dah cecah RM100 ribu, dia berhentilah berniaga.

Allah maha besar! Rasanya Allah makbulkan hasratnya. Beliau meninggal pada umur 70 tahun 4 bulan dan peninggalan yang cukup banyak untuk warisnya. Itulah hasil dan kesudahan yang baik bagi insan yang telah bekerja keras sepanjang hayatnya.

Cuma sedikit terkilan, sebenarnya selepas Aidilfitri ini saya dan arwah mempunyai perancangan bisnes bersama. Jika berjaya, dengan bangga saya katakan ianya adalah gandingan serasi menantu dan mertua. Namun ianya tak kesampaian… beliau terlebih dahulu pergi dijemput Ilahi.

Sesungguhnya walau hanya seorang menantu, saya amat terasa kehilangannya. Apapun saya bertuah kerana ditakdirkan berpeluang mempunyai bapa mertua seperti arwah. Kegigihannya berniaga, sifat penyayangnya dan taatnya ibadah kepada tuhan akan sentiasa menjadi  pengajaran kepada diri ini.

Kepada ayahanda mertuaku, allahyarham Hj. Azis @ Mohamed Karim bin Shafie, menantumu ini berdoa agar Allah melimpahkan Rahmatnya ke atas Roh mu dan semoga ditempatkan bersama kalangan yang beriman. Amin.