Pecah rekod! Dah lebih sebulan saya tak berdaya nak update blog ni. Sibuk memanglah sibuk tapi sebab utamanya ialah… saya benar-benar tiada cerita menarik untuk dikongsikan bersama anda. Saya fikir lebih baik diam daripada merapu.

Ikutkan hati, nak sahaja saya penuhkan blog ni dengan artikel berdasarkan senario politik negara kerana politik juga adalah minat saya. Namun saya pendamkannya kerana berpendapat masih ramai di kalangan kita sukar bersikap terbuka menerima pandangan orang lain terutamanya bila berkait dengan politik.

Berbalik kepada tajuk di atas… sebenarnya selama ini saya kurang faham bagaimana sindiket Ah Long berupaya meraih untung berjuta setiap bulan daripada bisnes pinjaman wang tak berlesen mereka itu.

Yang saya tahu, kebanyakan peminjam terdiri daripada peniaga kecil dan juga kaki judi . Setiap pinjaman dkenakan bunga yang tinggi dan peminjam pula dikehendaki membayar semula secara harian ataupun dalam tempoh tertentu. Kalau tersangkut, maka semakin tinggi bunga pinjaman itu.

Daripada keuntungan bisnes pinjaman wang inilah para Ah Long akan mempelbagaikan rangkaian bisnes haram mereka. Perjudian, pelacuran, vcd cetak rompak, nombor ekor dan entah apa lagi. Begitulah cara mereka berkembang. Dari kecil-kecilan, mereka mampu menjadi organisasi yang besar!

Namun saya masih musykil… takkanlah para Ah Long ini mampu meluaskan rangkaian bisnes mereka dengan hanya hasil keuntungan memberikan pinjaman kepada peniaga kecil dan kaki judi semata-mata?

Akhirnya pendedahan akhbar The Sun minggu lalu berkaitan bisnes Ah Long ini telah menjawab persoalan saya itu. Rupanya, peminjam wang bukan sahaja terdiri daripada peniaga kecil atau kaki judi… tetapi juga di kalangan profesional dan syarikat besar!

Diceritakan dalam artikel tersebut, sebuah syarikat pengeluar perabot telah mendapat tempahan besar dari Eropah. Namun kilang tersebut gagal mendapat pinjaman bank bagi membiayai pembelian bahan mentah bagi memenuhi tempahan dari Eropah tadi. Masa semakin suntuk dan pelanggan dari Eropah tadi mula mengancam untuk membatalkan tempahan mereka sekiranya perabot tempahan mereka gagal dihantar tepat pada waktunya.

Nak tak nak, bos kilang perabot itu terpaksa pinjam dari Ah Long demi membolehkan mereka memenuhi tempahan pelanggan besar mereka itu. Akhirnya persetujuan dicapai dan Ah Long bersetuju beri pinjaman sebanyak RM800 ribu kepada bos kilang perabot tadi dengan perjanjian bayaran balik berjumlah RM1.2 juta dalam tempoh beberapa bulan.

Dipendekkan cerita… kilang tersebut berjaya hantar tempahan perabot tepat pada waktunya dan lebih menarik lagi hutang Ah Long tersebut dengan pantas dilangsaikan. Dalam tempoh singkat dan tanpa bersusah-payah… Ah Long tadi untung atas angin sebanyak RM400 ribu!

Menurut artikel itu lagi, sememangnya pelanggan besar seperti kilang perabot tadi menjadi kegemaran sindiket Ah Long kerana jumlah pinjaman yang besar dan pulangan tentulah lebih besar lagi!

Sekarang baru saya faham bagaimana Ah Long boleh hidup kaya raya. Kalaulah kita hidup di muka bumi ini tiada halal dan haram… saya berminat juga nak jadi Ah Long ni. Haha! Syukurlah kita umat Islam ada hukum dan rukunnya.

Pesan saya kepada anda dan juga pada diri sendiri… jangan jadi Ah Long dan jangan pinjam duit dengan Ah Long. Insyaallah hidup kita akan selamat.