Kita sambung maklumat hasil sembang-sembang dengan rakan niaga Cina saya tempohari…

Saya tanya lagi kepada mereka… “Baguslah bisnesman Cina, selalu kerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri. Ada persatuan, ada ‘Bamboo Network’, mudah buat pinjaman mulakan bisnes dan dapatkan supply pada harga yang amat kompetitif…”.

Betullah tu… kata mereka. Ini satu kekuatan yang ada pada peniaga bangsa Cina. Konsep Bamboo Network atau rangkaian buluh cukup jelas menggambarkan kekuatan ini. Tetapi menurut kawan saya ini, konsep rangkaian ini dilihat telah mula diamalkan oleh peniaga India terutamanya melibatkan bisnes restoran, kedai buku, kedai gunting dan tekstil. Orang Melayu? Takde lagi…

Namun salah seorang rakan mencelah mengatakan lebih tepat menyebut tentang konsep ‘kongsi’. Kongsi boleh dilihat sebagai satu organisasi yang besar yang saling berkongsi atau saling melindungi. Kita selalu dengar tentang kongsi gelap (samseng) tetapi ini tentang kongsi jaringan perniagaan, namun konsepnya sama. Ada presiden, lembaga pengarah, otai dan AJKnya. Semuanya terdiri daripada jutawan dan peniaga berjaya.

Kalau tiada modal, boleh mohon dapatkan modal. Kalau tiada pelanggan, akan direkomen beberapa pelanggan. Jika tiada pembekal, akan diberi senarai pembekal. tapi ada syarat-syaratnya.

Syarat utama ialah mesti berjanji sanggup bayar balik pinjaman. Bukan setakat pinjaman sahaja, tetapi mesti beri sumbangan kepada tabung kongsi tadi agar bantuan kewangan dapat diberi kepada peniaga lain pula. Selain itu, diwajibkan juga bantu peniaga baru dan beri sokongan yang sewajarnya sehingga mereka boleh berdikari.

Jika ada pertelingkahan atau penipuan, kes akan dibawa ke hadapan jawatankuasa tadi. Sebarang keputusan mesti dipatuhi. Fuh!…

Kesimpulannya, sebagai ahli kenalah berkhidmat, beri sumbangan dan bantuan kepada ahli yang lain. Mereka yang pernah dapat bantuan mesti tahu balas jasa persatuan!

Tetapi tidaklah semua peniaga Cina menyertai kongsi besar ini. Ramai juga yang sekadar bergantung kepada kongsi keluarga. Maknanya, memadai dapatkan bantuan daripada ahli keluarga untuk mulakan bisnes. Konsepnya tetap sama.

Bila difikirkan semula, sememangnya orang Cina mengamalkan budaya kongsi dalam kehidupan mereka seharian. Bukanlah suatu yang pelik jika kita lihat sebuah rumah didiami beberapa keluarga. Mereka berkongsi segalanya… ansuran rumah, beli perabot, wang belanja dapur dan sebagainya.

Seorang rakan Cina yang berasal dari Muar pernah ceritakan kepada saya yang anak saudaranya nak sambung belajar ke Australia dan dia kena sumbangkan RM10000 buat  menampung sebahagian perbelanjaan anak saudaranya tadi.

Saya yang kehairanan mengapa pula dia yang terpaksa bersusah-payah terdiam apabila diterangkan bahawa ketika beliau (rakan saya itu) nak berangkat belajar di US dulu, pakcik, makcik dan adik-beradiknyalah yang berkongsi mengumpul duit bagi membiayai pelajarannya. Kini tibalah gilirannya menyumbang bagi membalas jasa keluarga mereka.

Itulah semangat kongsi!

Hmmm… bolehkah atau sanggupkah kita bertindak sama seperti itu, baik untuk bisnes ataupun keluarga kita?