Saya teringat ketika krisis ekonomi sekitar 1997 yang menyebabkan banyak syarikat dan individu ditimpa kesulitan disebabkan kerakusan spekulator matawang yang didalangi oleh George Soros. Saya salah seorang yang turut terjejas teruk ketika itu.

Saya mengikuti dengan teliti langkah-langkah pemulihan yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Dr. Mahathir ketika itu. Syukurlah dengan kebijaksanaan beliau, kita semua terselamat daripada  malapetaka ekonomi yang lebih teruk lagi.

Antara langkah yang diambil ialah memberi bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat yang berkepentingan besar kepada negara dan rakyat. Antara sebab utamanya untuk mengelakkan kerugian lebih teruk yang berpotensi menyebabkan kehilangan pekerjaan kepada beribu-ribu golongan pekerja.

Namun tindakan ini dikecam hebat oleh pakar-pakar ekonomi dan kewangan yang sebahagian besarnya adalah orang Amerika. Dengan angkuh mereka mengecam dengan mendakwa sepatutnya tindakan membantu (bail-out) syarikat-syarikat tersebut tidak dilakukan dan biarlah sistem kewangan itu sendiri yang menentukan pemulihannya.

Tetapi dunia itu bulat. Kini giliran Amerika pula yang ditimpa musibah ekonomi. Baru-baru ini kerajaan AS terpaksa menyuntik dana USD85 billion untuk mengelakkan syarikat kewangan gergasi, AIG daripada runtuh. Bukan itu sahaja, bahkan sebelum ini kerajaan AS telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak USD200 billion untuk menyelamatkan beberapa syarikat lain lagi. Dan rasanya banyak lagi yang perlu diselamatkan oleh kerajaan AS.

Nampaknya mereka terpaksa jilat semula ludah mereka dahulu. Dulu mengecam, kini dia tahu dia terpaksa melakukannya. Memang senang bercakap dan menasihatkan orang lain. Tetapi bila dah kena batang hidung sendiri, barulah tahu keadaan, penderitaan dan perasaan yang dihadapi pemimpin dan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu.

Padan muka Amerika… bak kata pepatah orang Amerika sendiri: what you give, you get back!