Beberapa bulan lalu saya berkenalan dengan seorang usahawan roti canai segera bernama Amat (bukan nama sebenar). Produknya ini dibuat sendiri dan diedarkan ke gerai-gerai, restoran dan kedai runcit dengan motosikal, satu-satunya kenderaan yang beliau miliki. Setiap pek mengandungi 6 keping roti canai dan dijual kepada peniaga pada harga RM2.50. Harga jualan runcit ialah RM3. Saya dah cuba. Memang sedap dan amat berpuas hati!

Pada ketika itu, Amat masih lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah. Jadi, bisnes roti canai segera ini dijalankan secara sambilan sahaja dan dibantu oleh isteri. ‘Buat tambah income!’, katanya yang mempunyai 3 orang anak dan isteri pula tidak bekerja.

roti canai segera

Untuk makluman, Amat mengusahakan bisnes roti canai segera ini dari rumah flat sewaannya yang terletak di tingkat 4 dan tiada kemudahan lif. Jadi bayangkan kesukaran membawa bahan mentah seperti karung gula, tepung atau tong gas ke rumahnya. Proses pembuatan roti canai ini dibuat dengan tangan sepenuhnya kecuali proses menguli menggunakan mesin penguli.

Memang perit bagi Amat kerana beliau masih bekerja. Namun sambutan menggalakkan daripada pelanggan amat menggembirakannya suami-isteri. Selang beberapa bulan apabila tempahan harian tetap mencecah 100 bungkus, Amat buat keputusan berhenti kerja dan menjadi usahawan roti canai segera secara sepenuh masa!

Gaji pengawal keselamatan tak sampai RM800 tetapi pendapatan kasar bisnes roti canai segeranya: 100 bungkus sehari x RM2.50 x 30 hari =  RM7,500 sebulan! Katalah untung bersih setelah tolak kos bahan mentah adalah RM3,500, ini adalah satu kemajuan yang besar berbanding pendapatannya sebagai pengawal keselamatan! Tahniah Amat!

Itu cerita yang sedap didengar. Namun hakikatnya cabaran terbesar bagi usahawan seperti Amat ialah mengekalkan kejayaannya dengan meningkatkan lagi produksi roti canai segeranya. Dia perlukan tempat yang lebih selesa dan mesin yang sesuai untuk meningkatkan pengeluaran, namun belum mempunyai modal mencukupi untuk berbuat demikian.

Tempahan semakin meningkat tetapi semakin tidak mampu dipenuhi kerana tidak berdaya lagi. Pernah tempahan tidak dapat dihantar selama 2 hari kerana demam akibat tidak pernah mendapatkan rehat yang cukup. Amat sukar dapatkan pekerja yang komited. Kerja seminggu dua, dah tak tahan!

Dapatkan pinjaman dari bank atau MARA? Amat tiada apa-apa untuk dicagarkan. Permintaan pelanggan agar roti canai segeranya disertakan dengan kuah dal, Amat tidak mampu memenuhinya kerana tiada jaminan ianya boleh tahan lama.

Tambah menyulitkan apabila Amat kurang mahir menguruskan kewangan bisnesnya. Jadi untung hanya di atas kertas, duitnya tak nampak. Sepatutnya sebahagian besar keuntungan diperuntukkan untuk beli mesin, sewa kedai/rumah yang lebih besar dan upah pekerja. Nampaknya struggle Amat dalam menjalankan bisnesnya akan berpanjangan. Tak tahulah beraapa lama beliau akan bertahan.

Saya sebagai pemerhati dan pendengar tiba-tiba terfikir… inilah situasi yang dihadapi kebanyakan usahawan kita. Sesiapa sahaja boleh menjadi usahawan dan berjaya. Namun cabaran untuk mengekalkan kejayaan dan membawanya ke peringkat yang lebih tinggi, hanya usahawan yang cukup persediaan dan berilmu akan berjaya melaluinya.

Wallahualam.