Sekarang ni banyak diadakan forum dan perbincangan untuk memelihara kepentingan orang Melayu. Macam-macam resolusi dan pelbagai cadangan dibuat. Pelbagai cadangan mewujudkan bermacam majlis diusulkan. Biarlah, setidak-tidaknya ia menunjukkan ada kesedaran betapa pentingnya memelihara kekuatan bangsa.

Secara peribadi, saya rasakan tak cukup sekadar kita ada kuasa politik, perlembagaan dan kedaulatan Raja & Sultan. Saya merasakan kita amat kurang kekuatan dari segi semangat menguasai ekonomi dan pendidikan. Hakikatnya, penguasaan ekonomi dan ilmu pendidikanlah yang lebih menjamin keperkasaan sesuatu bangsa. Inilah pendapat saya.

Banyak telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu orang Melayu agar berjaya dalam pendidikan dan perniagaan, namun ia masih gagal memperkasakan orang Melayu pada tahap yang sepatutnya.

Mengapa pelajar kita masih belum cukup cemerlang sedangkan sudah banyak bantuan dana dan peluang melanjutkan pelajaran disediakan? Majoriti pelajar di IPTA adalah Melayu tetapi mengapa kualiti pencapaian mereka lebih rendah daripada pelajar kaum minoriti? Bukanlah semua, tetapi mengapa ramai yang berpuas hati dengan pencapaian sekadar cukup makan?

Begitu juga dalam bisnes, sukar orang kita nak maju dan berjaya sedangkan banyak program pembangunan usahawan menumpukan kepada Melayu?

Saya terfikir… adakah ini disebabkan ‘perlindungan’ yang diberikan kepada Melayu selama ini yang menjadikan kita bangsa yang manja, lemah dan sentiasa perlu dibantu?

Tak semestinya saya betul, tetapi saya merasakan kita mesti ada semangat dan minda untuk menjadi bangsa maju dan perkasa seperti yang telah ditunjukkan oleh bangsa Jepun, Korea dan Cina.

Bangsa Jepun dan Korea bangkit setelah negara mereka hancur akibat peperangan. Mereka tiada pilihan melainkan menjadi yang terbaik untuk membina semula negara dan bangsa mereka. Hasilnya telahpun kita lihat hari ini.

Bangsa Cina pula bangkit setelah penderitaan akibat bencana peperangan, wabak penyakit dan kekurangan makanan di Tanah Besar China. Maka mereka beramai-ramai berhijrah ke seluruh dunia demi mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik. Agaknya penderitaan dan kegigihan nenek-moyang mereka itulah yang menjadikan bangsa Cina amat kuat semangat, gigih dan kuat berusaha demi ’survival’ keturunan mereka.

Berbalik kepada Melayu, selain berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, sewajarnya juga kita disemaikan dengan semangat bekerja kuat dan cemerlang dalam setiap usaha kita tanpa berharap atau bergantung kepada bantuan dan subsidi.

Kita kena latih generasi baru kita agar lebih rajin berfikir, mesti diterapkan semangat hasilkan yang terbaik, hapuskan mentaliti cepat berpuas hati dan hasil cukup makan! Kita tak boleh lagi berasa terlalu selesa dalam zon selesa ‘rekaan’ ini.

Sekadar pendapat…