Cerita ‘Duit Kecik’…

Tips Bisnes, Inspirasi 12 Comments »

Saya percaya perkara ini telah lama dan  biasa berlaku, cuma kita anggap ia sebagai perkara remeh. Namun akhir-akhir ini sering terjadi kepada saya sehingga terdorong saya menulis mengenainya di sini.

Saya ni amat gemar pergi ke pasar malam atau pasar tani. Pantang terjumpa, pasti saya singgah! Selain seronok tengok pelbagai juadah dan jualan, saya gemar melihat telatah para peniaga kita. Macam-macam!

 

Namun apa yang ingin dikongsikan di sini ialah sikap sesetengah peniaga yang tidak ambil berat atau sering terlupa menyediakan duit kecil secukupnya bagi tujuan pemulangan wang baki kepada pelanggan.

Memang tak selesa bila membeli tapi menghadapi kesukaran kerana peniaga tiada wang kecil secukupnya untuk memulangkan baki. Jika peniaga ada inisiatif tukar duit dengan gerai sebelah takpelah juga… tapi ada yang berani menyuruh kita cari duit kecil dahulu dan datang semula bayar kepadanya! Padahal harga bihun sup tu harganya RM3 dan saya menghulurkan not RM5 sahaja!

Perkara ini saya alami sendiri beberapa kali 2-3 minggu kebelakangan ini. Bukan satu gerai sahaja, tetapi beberapa gerai di beberapa lokasi. Ada satu ketika, seorang pemuda Cina hanya mampu menggelengkan kepala dan meletakkan kembali satay yang dipesannya kerana peniaga tersebut tiada wang tukar bagi harga satay RM7.50 sedangkan pemuda tersebut hanya memberikan not RM10! Kan dah hilang satu pelanggan!

Rasanya sudah jadi kebiasaan orang kita akan bawa beberapa keping not RM10 ke pasar malam, paling besarpun not RM50. Jadi sewajarnyalah para peniaga buat persediaan menyediakan wang tukar yang secukupnya sebelum memulakan bisnes pada hari tersebut.Sediakan duit kecil secukupnya juga sebahagian dari khidmat pelanggan.

Kepada peniaga yang tidak pernah memberi masalah kepada pelanggan dalam hal duit tukar ini, saya ucapkan tahniah! Anda memang peniaga yang cekap!

Revolusi Minda & Semangat

Umum 2 Comments »

Sekarang ni banyak diadakan forum dan perbincangan untuk memelihara kepentingan orang Melayu. Macam-macam resolusi dan pelbagai cadangan dibuat. Pelbagai cadangan mewujudkan bermacam majlis diusulkan. Biarlah, setidak-tidaknya ia menunjukkan ada kesedaran betapa pentingnya memelihara kekuatan bangsa.

Secara peribadi, saya rasakan tak cukup sekadar kita ada kuasa politik, perlembagaan dan kedaulatan Raja & Sultan. Saya merasakan kita amat kurang kekuatan dari segi semangat menguasai ekonomi dan pendidikan. Hakikatnya, penguasaan ekonomi dan ilmu pendidikanlah yang lebih menjamin keperkasaan sesuatu bangsa. Inilah pendapat saya.

Banyak telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu orang Melayu agar berjaya dalam pendidikan dan perniagaan, namun ia masih gagal memperkasakan orang Melayu pada tahap yang sepatutnya.

Mengapa pelajar kita masih belum cukup cemerlang sedangkan sudah banyak bantuan dana dan peluang melanjutkan pelajaran disediakan? Majoriti pelajar di IPTA adalah Melayu tetapi mengapa kualiti pencapaian mereka lebih rendah daripada pelajar kaum minoriti? Bukanlah semua, tetapi mengapa ramai yang berpuas hati dengan pencapaian sekadar cukup makan?

Begitu juga dalam bisnes, sukar orang kita nak maju dan berjaya sedangkan banyak program pembangunan usahawan menumpukan kepada Melayu?

Saya terfikir… adakah ini disebabkan ‘perlindungan’ yang diberikan kepada Melayu selama ini yang menjadikan kita bangsa yang manja, lemah dan sentiasa perlu dibantu?

Tak semestinya saya betul, tetapi saya merasakan kita mesti ada semangat dan minda untuk menjadi bangsa maju dan perkasa seperti yang telah ditunjukkan oleh bangsa Jepun, Korea dan Cina.

Bangsa Jepun dan Korea bangkit setelah negara mereka hancur akibat peperangan. Mereka tiada pilihan melainkan menjadi yang terbaik untuk membina semula negara dan bangsa mereka. Hasilnya telahpun kita lihat hari ini.

Bangsa Cina pula bangkit setelah penderitaan akibat bencana peperangan, wabak penyakit dan kekurangan makanan di Tanah Besar China. Maka mereka beramai-ramai berhijrah ke seluruh dunia demi mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik. Agaknya penderitaan dan kegigihan nenek-moyang mereka itulah yang menjadikan bangsa Cina amat kuat semangat, gigih dan kuat berusaha demi ’survival’ keturunan mereka.

Berbalik kepada Melayu, selain berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, sewajarnya juga kita disemaikan dengan semangat bekerja kuat dan cemerlang dalam setiap usaha kita tanpa berharap atau bergantung kepada bantuan dan subsidi.

Kita kena latih generasi baru kita agar lebih rajin berfikir, mesti diterapkan semangat hasilkan yang terbaik, hapuskan mentaliti cepat berpuas hati dan hasil cukup makan! Kita tak boleh lagi berasa terlalu selesa dalam zon selesa ‘rekaan’ ini.

Sekadar pendapat…

WP Theme & Icons by N.Design Studio
Entries RSS Comments RSS Login