Selepas 8 Mac 2008, saya dengan penuh minat mengikuti perkembangan politik negara. Sudah tentulah tumpuan saya lebih kepada 4 negeri yang telah bertukar pentadbiran iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor.

Jangan salah sangka, saya bukannya berminat mencari kelemahan, kesalahan atau kekurangan pentadbiran parti-parti yang selama ini hanya tahu membangkang sahaja. Sebaliknya saya dengan penuh minat mengenalpasti kekuatan, kelebihan dan kebaikan ‘pemerintah baru’ ini… manalah tahu, kalau terbukti mereka bagus, prihatin dengan keperluan rakyat dan berupaya penuhi manifesto pilihanraya, saya mungkin akan memberikan sokongan moral kepada mereka pula pada PRU13.

Biasalah, banyak juga perkara dan isu yang telah dibangkitkan, mempertikaikan tindakan dan cadangan kerajaan-kerajaan baru yang belum pun setahun jagung ini. Namun sebagai insan yang rasional, waras dan terbuka, saya berasakan wajar kita beri peluang kepada mereka ini menunjukkan kebolehan mereka. Lagipun, inilah kerajaan pilihan rakyat. Let them show what they have in store for us. Let them prove to us that they are as sincere, truthful, clean, democratic and trustworthy as they claimed they are…

Namun berita kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) meluluskan RM100 juta bagi projek ladang ternakan babi di Sepang, Selangor benar-benar mengejutkan saya.

Pertamanya, kerana tak sampai 40 hari berkuasa, inilah projek mega pertama yang diumumkan oleh kerajaan PR di Selangor! Menteri Besar TS Khalid kata ia telah diluluskan oleh kerajaan BN sebelum ini, tetapi yang nyatanya mengapa pula kelihatannya kerajaan baru ini yang tak sempat-sempat mengumumkan kelulusan projek ini? Saya terfikir, terkena tekanan & penangan DAP kah, setelah mereka tak dapat jawatan Timbalan MB, maka TS Khalid dan 3 exco dari PAS terpaksa akur?

Jelas sekali penduduk Sepang sendiri menolak dan marah kerana tidak dibawa berunding. Kata Pakatan Rakyat, jadi kenalah berpakat dengan rakyat terlebih dahulu dalam memutuskan sesuatu perkara yang melibatkan kehidupan rakyat. Jangan diulangi kesilapan sama yang banyak kerajaan BN dulu lakukan…

Keduanya, saya terkejut 3 exco PAS memberikan restu, persetujuan dan sokongan mereka ke atas projek ternakan babi ini, lebih-lebih lagi dengan Dato Dr. Hassan Mohamed Ali yang saya kenali secara peribadi ketika sering berurusan dengan syarikat beliau ketika saya berkhidmat dengan nTV7 dahulu. Rasa tak percaya beliau terlibat dalam meluluskan perkara ini. Tangan Dato terikatkah?

Lagipun ketika kempen pilihanraya lalu di Sepang, bukankah parti PAS mengedarkan risalah agar penduduk dan pengundi menentang projek ternakan babi di Sepang ini? Antara kenyataan yang terkandung dalam risalah itu… tiada tempat lainkah? Mengapa pilih Sepang yang majoritinya kawasan Melayu?

Tapi kini bila dah pegang pentadbiran negeri, lain pula rentak exco-exco PAS ini. Hmmm… betul kata salah seorang sahabat saya… kalau dah namanya ahli politik, bila dah pegang kuasa, semuanya sama!

Saya boleh bayangkan jika kerajaan BN yang buat keputusan sebegini, pasti hangat disensasikan ke seluruh negara oleh PAS! Sekarang?

Jadi kenapa pula kita sebagai rakyat mesti berpecah-belah dan bersengketa kerana spesies yang bergelar ahli politik ini? Lebih baik kita tumpukan kepada memperkasakan pendidikan dan ekonomi bangsa, bermula dengan diri dan keluarga kita sendiri. Itu lebih selamat dan menjamin masa depan, insyaallah.