Belajarlah Dari Sejarah…
Politik, Umum March 21st, 2008Jujur… saya tiada mood nak tulis apa-apa sejak kebelakangan ni…
Sememangnya saya memang sibuk dengan 2 cabang bisnes terbaru saya sejak awal tahun ini. Benda baru, kenalah beri perhatian lebih agar ia lancar dan sempurna. Tetapi sebab sebenarnya… saya sedikit terganggu dengan keputusan pilihanraya ke 12 baru-baru ini.
Pilihanraya dah tamat dan semua orang tahu keputusannya. Jadi saya tak berniat nak buat ulasan sendiri kerana saya yakin setiap orang ada tafsirannya masing-masing. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah realiti dari perspektif yang mungkin anda tidak nampak.
Sejak dulu lagi saya menyokong BN kerana ia melambangkan perpaduan dan penyatuan pelbagai kaum di negara kita ini. Formula perkongsian kuasa ini ternyata memberi manfaat dan keamanan sejak merdeka 50 tahun lalu. Parti lain seperti DAP, PAS dan PKR pula lebih dilihat sebagai memperjuangkan agenda masing-masing i.e. Malaysian Malaysia, negara Islam dan survival politik Anwar Ibrahim.
Jika anda mengikuti blog ini sejak awal, tentu anda tahu saya mempunyai ramai sahabat dan rakan niaga berbangsa Cina dan India. Mereka ini adalah golongan yang berusaha keras dalam pelajaran dan ekonomi demi meningkatkan taraf kehidupan mereka. Saya berbangga melihat kejayaan mereka kerana ianya bukti kemakmuran hasil DEB yang meliputi semua kaum di negara ini.
Saya juga berbahagia kerana kami berupaya berurusniaga dan bersosial sesama sendiri tanpa adanya batas perbezaan kaum atau keturunan. Seboleh-bolehnya kami mengelakkan dari menimbulkan sensitiviti. Pokoknya, kami saling hormat-menghormati!
Malangnya sejak Pak Lah jadi PM, beliau memperkenalkan dasar keterbukaan, maknanya boleh berbincang dan bercakap apa sahaja termasuklah hal bangsa dan kaum tanpa sekatan sedangkan sebelumnya hal berkaitan perkauman dilarang dibincangkan secara umum dan terbuka. Inilah puncanya…
Dasar utama BN ialah kesepakatan dan keharmonian antara kaum. Tetapi jika anda ingat Perhimpunan Agung UMNO 2006 di mana berlakunya peristiwa menghunus keris oleh Ketua Pemudanya yang terkenal dengan ketidakwibawaannya yang disertai puluhan lagi penghujah yang tiba-tiba naik hantu terjerit-jerit dan memekik-mekik agar diperkasakan lagi hak Melayu! Semua nak tunjuk jaguh…
Saya ingat lagi dua perbahasan kontroversi… Hishamudin dengan kerisnya sambil mengatakan Melayu berjumlah 60% daripada rakyat Malaysia dan tak perlukan bangsa-bangsa lain…
Seorang lagi, Azimi Daim dengan berkobar-kobar mahukan kerajaan abaikan kepentingan bangsa lain atas alasan Melayu sudah banyak mengalah…
Rentetan peristiwa itu, wujudlah perasaan amarah dan tidak puas hati di kalangan komponen BN terutamanya MCA, Gerakan dan MIC. Akibatnya, semua parti komponen ini dalam Perhimpunan Agung masing-masing sudah mula menunjukkan penentangan dan perbalahan terhadap UMNO. Maka bermulalah keretakan dalam BN.
Saya amat merasakan perkara ini kerana reaksi yang sama saya terima daripada sahabat dan rakan Cina dan India saya. Ternyata mereka marah dan tidak puas hati. Seolah-olah mereka rakyat Malaysia kelas kedua…
Lucu sekali, UMNO sebagai peneraju BN sendiri yang menjejaskan keharmonian dan persefahaman yang telah terjalin kuat selama ini. Pak Lah hanya diam dan gagal mengawal suasana. Ironinya, pemimpin parti komponen MCA, Gerakan dan MIC hanya berdiam diri atas dasar tidak mahu berkonfrontasi… sebaliknya inilah yang semakin menimbulkan kemarahan ahli dan penyokong mereka. Terasa sangat mereka berada di bawah ketuanan Melayu.
Malah jika anda ingat, bila diperkenalkan dasar keterbukaan inilah mula timbulnya isu keagamaan. Dulu mana ada! Sesiapa yang cuba menimbulkan isu sensitif, pasti akan dihentikan serta-merta. Disebabkan kelancangan UMNO inilah timbulnya desakan diadakan dialog antara agama!
Ini diburukkan lagi dengan banyaknya kes perebutan mayat antara pihak berkuasa Islam dengan keluarga simati bukan Islam. Cara dan kaedah menyelesaikan masalah yang tidak berhemah dan berat sebelah membesarkan lagi jarak antara kaum dan agama. Di Pulau Pinang pula semakin lantang suara UMNO menuntut kerusi Ketua Menteri daripada Gerakan. Pak Lah sebagai PM dan pengerusi BN sekali lagi gagal mengawal keadaan…
Menyedihkan lagi, seorang rakan India memberitahu saya perasaan marah dan kecewanya kerana buat pertama kali dalam sejarah pihak kuil terpaksa memohon permit polis untuk perarakan membawa patung dewa Hindu semasa perayaan Thaipusam, itupun ditolak atas alasan bimbang rusuhan oleh Hindraf!
Inilah masanya parti2 pembangkang ambil kesempatan atas kesempatan yang terbentang luas. Banyak isu yang gagal ditangani dijadikan modal. Pada pendapat saya, Anwar Ibrahim memang seorang strategis yang terbilang. Beliau tahu kelemahan Pak Lah dan BN. Kesimpulannya Pak Lah bukanlah lawannya. Anwar lebih hebat…
Jika pilihanraya 1999, PAS menang besar atas faktor Anwar, kali ini pada 2008, DAP pula yang beruntung… juga atas faktor Anwar!
Saya amat merasakan BN era Pak Lah telah terkeluar dari landasan asalnya iaitu keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat secara adil dan saksama. Inilah kali pertama saya menyaksikan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC bergerak secara asing-asing.
Kini, rakyat telah bersuara dan BN menerima padahnya. Malangnya sehingga kini, tiada satupun tindakan kerajaan BN yang saya yakini akan mengembalikan kepercayaaan rakyat kepada gagasan BN.
Jujur saya katakan, saya tiada keyakinan kepada barisan kabinet yang diumumkan malah terkejut si Hishamudin masih tersenarai sebagai menteri. Cuma perlantikan Zaid Ibrahim dan Shahril Samad saya kira kena pada tempatnya…
Kita lihat sahajalah negara kita menuju ke arah pemerintahan 2 parti seperti di Amerika. Lihat sahaja sejauh mana keberkesanan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dicadangkan Anwar Ibrahim bagi menggantikan DEB.
Yang saya tahu, barisan pembangkang sendiri terkejut dan terkedu dengan kemenangan mengejut mereka ini. Bahkan AEM pun hanya timbul selepas kemenangan mengejut mereka ini. Kita tunggu sahajalah.
Namun yang merunsingkan saya ialah komen dari rakan dan sahabat bukan Melayu saya. Lebih kurang begini maksud dan bunyinya setelah diedit dan diterjemah… “Hey Lan, selama ini kami sokong BN yang diterajui UMNO/Melayu dan atas dasar keamanan, kesamarataan, perpaduan bangsa dan negara. Kini kami sedar kami tak perlukan orang Melayu untuk melindungi kami kerana sesungguhnya kini kami sedar hak dan kekuatan kami sendiri…”
Inilah akibatnya jika kita tak belajar dari sejarah. Hmmm…. fikir-fikirkanlah.
p/s: semoga negara kita aman sentosa dan Pak Lah ada magik untuk lindungi rakyat Malaysia keseluruhannya. Jika tak, berdoalah agar akan muncul super leader lain yang hebat seperti Tun Mahathir.


































March 22nd, 2008 at 9:31 am
Terimakasih dan tahniah
saya fikir banyak lagi yang patut difikirkan untun survivle
melayau. Sebab rata rata melayu beragama islam maka
dasar kita tidak bolih lagi melayu.tetapi islam. Tun cerdik
tapi saya rasa kurang berpandukan islam .Saya yakin islam lengkap (shumul)rujuklah mereka yang jujur ikhlas kepada islam(yang tidak berkepentigan)tidak mengambil kesimpulan atas perasaan kawan kawan yang bukan islam kerana kafir selama nya tidak akan senang dengan islam yang kita yakin rahmat keseluruh alam. wallahuaalam.
March 22nd, 2008 at 9:38 pm
tahniah! rakyat malaysia patut kritikal dan dapat berfikir secara rasional spt saudara utarakan..sudah lama kita membiarkan orang2 yg bukan ahli n tidak layak menerajui kepimpinan negara. jika BA mampu membuat perubahan yang lebih baik mengapa tidak kita memberi sokongan..dan sokongan terbaik adalah kembalikan masalah manusia kpd fitrah undang2 Tuhan..yg terkandung di dlm AlQur’an dan sunnah nabiNya..
March 25th, 2008 at 8:22 am
Bila saya selesai baca post ni, rasa sayup jer.. sedih mengapa orang melayu berbalah sesama sendiri.. saya tidak tahu apa yang akan terjadi dengan rakyat Malaysia pada masa akan datang..
March 25th, 2008 at 10:44 am
Sebab itulah, kita Melayu Islam mesti perkasakan diri dengan ilmu, perkasa dalam ekonomi… malah perkasa dalam segalanya.
Jangan lagi berasa selesa dan bermentaliti subsidi. Kita kena sinsing lengan dan berusaha keras agar sama kuat dan sama gagah dgn bangsa lain.
Pemimpin di semua peringkat, tak kita BA atau BN kena insaf akan amanah yang dipikul. Bukannya asyik tambah kekayaan dan berebut jawatan. Inilah yang melemahkan kita.