Sorotan Seminggu…
Umum January 11th, 2008Pengalaman beberapa hari ‘berkampung’ di perkarangan sekolah sejak minggu lepas kerana menemani anak sulung saya yang baru sahaja masuk Tahun 1 benar-benar merupakan suatu pengalaman yang unik. Sungguh banyak pengalaman baru dan pemerhatian menarik yang saya perolehi. Bahkan saya dapat ramai kawan baru di kalangan guru dan ibubapa pelajar sendiri.
Bukannya anak saya bermasalah, cuma saya memang telah merancang untuk ‘lepak’ di sekolah semata-mata ingin memahami sepenuhnya sistem perjalanan dan pembelajaran anak saya di sekolah tersebut. Saya kira inilah kelebihan bekerja atau bisnes sendiri, mampu aturkan masa sendiri tanpa menjejaskan urusan harian.
Hasil interaksi dengan Guru Besar, guru-guru dan ibubapa lain, beberapa resolusi bernas telah dicapai demi kemajuan pendidikan anak-anak. Semua ini dilakukan secara spontan di kantin sekolah dan berlangsung secara tidak rasmi, namun saya puas!
Saya gembira dan senang hati melihatkan integrasi kaum di kalangan ibubapa dan pelajar. Saya senang melihat ibubapa berkenalan sesama sendiri tanpa mengira kaum. Sejuk hati ini apabila melihatkan dua pelajar berlainan kaum berjalan berpegangan tangan dan berkongsi makanan. Ini bukti semangat toleransi dan integrasi antara kaum masih subur di negara kita ini. Saya berdoa agar tiada lagi konflik yang akan timbul lagi oleh mana-mana anasir negatif di negara kita ini.
Namun sepanjang tempoh berkampung tersebut, saya berasa terkilan tentang beberapa perkara membabitkan disiplin diri para ibubapa yang datang ke sekolah. Saya berasa kecewa apabila melihat sebahagian besar ibubapa membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan sekolah. Malah ramai yang hanya membiarkan bekas makanan dan minuman di atas meja kantin sedangkan ada papan notis dan peringatan berulang-kali dari para guru agar bekas makanan di letakkan di dalam bekas khas setelah selesai makan. Mereka lupa agaknya mereka di kantin sekolah, bukannya di warung atau kedai mamak! Lebih teruk lagi, ada yang berdegil masih mahu merokok dalam kawasaan sekolah!
Ianya adalah peraturan wajib dan asas di mana-mana sekolah, tetapi jika ibubapa sendiri gagal mematuhi arahan dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak, bagaimanalah nanti anak mereka nanti bila dewasa?
Berkaitan isu yuran sekolah, sedikit sebanyak saya geleng kepala juga melihat reaksi segelintir ibubapa. Jumlah bayaran yuran keseluruhan bagi Tahun 1 di sekolah anak saya ialah RM68. Namun ada juga yang bertegang leher menuntut guru besar menjelaskan dan memperincikan peruntukan bayaran yuran tersebut.
Pada pemerhatian saya, mereka yang banyak ’songeh’ ini bukannya orang susah tetapi sengaja cari pasal. Memanglah jika ada ramai anak yang besekolah, tentu besar belanjanya. Tetapi bukankah kita ada pilihan untuk bersedia dan merancang kewangan untuk perbelanjaan persekolahan anak kita masing-masing?
Saya bukannya seorang yang kaya-raya, tetapi budget persekolahan anak saya telah disediakan sejak 6 bulan lalu termasuklah pembelian pakaian seragam. Saya memang tak suka buat kerja saat-saat akhir, apatah lagi nak berebut-rebut membeli-belah di pasaraya seperti kebanyakan orang. Minta maaf, saya rimas bersesak-sesak!
Salah seorang bapa berbangsa India yang saya temui turut menggelengkan kepala melihatkan gelagat ibubapa yang amat berkira dengan jumlah yuran persekolahan tersebut. Komen beliau yang bekerja sebagai machine technician, ibubapa yang berkira tentang pembayaran yuran sekolah itu merupakan golongan yang kurang mementingkan pendidikan anak-anak mereka. “Kalau boleh, semua mau free!”, tambahnya.
Saya renung pernyataannya itu dan akui ada kebenarannya. Ketika melangkah ke kenderaan saya untuk pulang ke pejabat, saya ternampak kelibat salah seorang bapa yang tadinya benar-benar tak puas hati dengan jumlah bayaran yuran sekolah yang dikenakan.
Saya lihat beliau berjalan sambil berbual dengan suara kuat menggunakan telefon PDA model terbaru ke arah kenderaannya… Toyota Camry model terkini dengan nombor platnya saya kira baru didaftarkan dalam sebulan dua ini.
Hmmm… no comment!
Musim berkampung di sekolah dah berakhir. Now, back to work… full swing!
p/s: Dah buka akaun SSPN untuk anak-anak: Skim Simpanan Pelajaran Nasional






January 11th, 2008 at 8:00 pm
biase la ada sesetengah orang saje je kepoh bende2 remeh ni sepatutnye bab pelajaran tak patut banyak dipersoalkan lagipun bukannye mahal bayar. lagi mahal kut kadang2 hantar tusyen tu hehe
January 12th, 2008 at 2:13 am
Tahun nih adik saya yang bongsu masuk darjah satu. Tinggal 3 orang jer lagi bersekolah .
Saya tak ada masalah pasal kaum atau bangsa, yang menjadi masalah bangsa tu sendiri, kekadang tu , diorang sendiri suka hina agama dan bangsa yang lain . Sy tak selesa (kalau kena kat kawan saya , dah nazak budak-budak tu).
Yang masalah kena pada sekolah, cikgu, guru besar buat biz kat sekolah, paksa murid beli peralatan yang tak perlu.
Well , saya sekolah menengah saya tahu apa yang perlu dan tidak, masa sekoah rendah budak-budak dilatih bawak batu dalam beg subjek ada 5 jer tuisyen sampai lewat malam, tapi time sekolah menengah (terutama form 5) bawak buku 3-4 gram jer , pen sebatang , beg sandang mat rempit .
Ok gak kita orang , 10 subjek tuuuu ……
Even nak biz pun , ikutlah jalan yang sah dan diredhai Allah.
January 13th, 2008 at 9:04 pm
January 18th, 2008 at 9:08 pm
Salam perkenalan bro. First time sampai sini.Pasal yuran ni..memang ramai yang sensitif, maklumlah datuk menteri dah umumkan percuma masa belanjawan dan juga persidangan pendidikan dgn negara2 luar. Sepatutnya perincikan berapa ringgit yang percuma tu..dan berapa yang perlu di bayar.
Untuk tahun ni pula, yuran siap ada pakej.Pakej A, Pakej B dan Pakej C. Dan sememangnya yuran untuk tahun ini lebih mahal berbanding tahun sebelumnya. Apapun, tanggungjawab pada anak2 perlu tunaikan. Buat persedian lebih awal agar tidak kelam kabut kemudian hari.
Bagi yg tidak berpendapatan tetap, mungkin ini sedikit membebankan tambahan pula ramai anak yg bersekolah.Sbg ibu bapa bertanggung jawab, cari alternatif terbaik utk mengatasinya.
Teman 3 anak bersekolah..Tahun6,Tahun4 dan Tahun 1
January 19th, 2008 at 1:32 am
sebagai seorang cikgu, saya dapati ramai jugak yg merungut dan bertanyakan tentang yuran sekolah. Ada yang berkata yuran dah kerajaan hapuskan, jd tak payah la bayar. sebenarnya yuran yang dihapuskan tidaklah semua tapi cume beberapa ringgit je…
January 19th, 2008 at 1:47 am
Di sekolah saya ( sekolah luar bandar) bayaran untuk Tahun 1dalam lingkungan RM50. itupun termasuk yuran PIBG RM10 sekeluarga.