Jika kita libatkan diri dalam bisnes, pasti kita tak boleh lari daripada memikirkan tentang strategi dan taktik bagi mengekalkan prestasi atau memajukan lagi bisnes kita itu. Tambahan pula suasana bisnes pada zaman ini cepat berubah-ubah, maka kerap jugalah kita kena ubah strategi perniagaan bagi memenuhi kehendak dan tuntutan ekonomi semasa.

Lain jenis bisnes, lain pulalah strategi yang digunapakai. Tetapi apa yang pasti, setiap jenis bisnes atau perniagaan mesti mempunyai perancangan dan strategi masing-masing bagi memastikan pertumbuhan & kesinambungan bisnes mereka.

Nak cerita pasal strategi atau taktik ni… sebenarnya ada banyak faktor yang diambilkira. Antaranya lokasi bisnes, kualiti produk, cara pembungkusan, harga jualan, promosi, penampilan, kebersihan dan banyak lagi. Yang penting, strategi atau taktik yang digunakan itu berkesan dan berhasil dalam menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan jualan!

Di kawasan perumahan saya ini baru sahaja diadakan pasar malam pada setiap hari Rabu. Kira tak kalah meriahnya dengan pasar malam di taman perumahan lain yang biasa saya kunjungi selama ini. Dari pemerhatian saya, kebanyakan peniaga pasar malam di tempat saya itu telahpun saya kenali kerana mereka juga berniaga di pasar-pasar malam di tempat lain. Namun, saya juga perasan ramai juga muka-muka baru yang kemudiannya saya diberitahu bahawa mereka itu adalah penduduk di taman perumahan saya ini yang diberi peruntukan khas tempat berniaga.

Jelas sekali mereka ini kelihatan canggung dan seolah-olah masih belum sedia untuk memulakan bisnes mereka. Ini saya rumuskan dari keadaan gerai mereka yang tidak kemas, lampu yang tak terang dan tak pandai bermesra dgn pelanggan. Hati saya berkata, “Kasihan mereka ini… masih baru dan belum pandai berniaga lagi…”.

Kelihatan juga makanan jajaan mereka itu kurang menarik dari segi rupa, aroma dan warna. Kalau roti jala, warnanya tak sama dengan roti jala yang biasa saya beli. Karipap pun takde rupa karipap. Ada satu gerai tu jual murtabak, tetapi murtabaknya amat nipis seperti roti canai. Saya tengok murtabaknya tersusun tinggi. Jika sekeping diumpamakan satu tingkat, saya andaikan ada 20-30 tingkat murtabak yang belum terjual!

Sayu hati melihatkan barangan jajaan mereka seperti tidak luak dan tidak laku. Mata mereka layu dan senyum mereka tawar memerhatikan pengunjung yang hanya melintasi gerai mereka, tak singgah pun! Saya terfikir… apakah yang akan dilakukan dengan bahan makanan jajaan mereka yang banyak tetapi tak terjual itu? Semua itu merupakan modal!

Harapan saya mereka ini akan cepat belajar daripada kesilapan mereka agar tidak terus dilanda kekecewaan dan kegagalan. Semoga mereka akan perbaiki kualiti masakan mereka dan juga skil berkomunikasi. Mulut kena ramah, senyum kena manis, perasaan malu mesti dibuang jauh-jauh! Kena kenalpasti strategi yang akan pikat hati pelanggan membeli di gerai mereka.

Saya tertarik dengan strategi/taktik perniagaan yang digunakan oleh sebuah kedai kek di Taman Rasah Jaya, Seremban. Istimewanya kedai kek ini ialah kedainya penuh diserbu pelanggan setiap malam selepas jam 8 malam! Nak tahu kenapa?

Pengusaha kedai kek ini memperkenalkan potongan harga 50% bagi setiap jualan kuih, pastri dan kek yang dibeli selepas jam 8 malam. Untuk makluman anda, boleh dikatakan semua jenis makanan di kedai kek ini sedap-sedap belaka, maka tak hairanlah pelanggan sanggup tunggu sehingga selepas jam 8 malam untuk dapatkan potongan harga 50% tersebut!

Apabila ditanya rasionalnya memberikan diskaun tersebut setiap malam, pemilik kedai kek itu berkata, selain memastikan stok jualannya pada hari itu habis dijual, ia juga memberikan tanggapan bahawa setiap kuih, pastri dan kek dikedainya adalah segar dan baru setiap hari… bukannya kek yang dah 2-3 hari!

 Baguskan?