Ini kisah yang saya janjikan dalam post yang lalu. Maaf kerana tak berkesempatan siarkan post ini lebih awal kerana sibuk dengan urusan perniagaan. Banyak yang perlu diselesaikan sebelum finalise akaun perniagaan bagi tahun 2007 selain sibuk juga dengan strategi serta perancangan bisnes 2008.

Ketika pulang mengunjungi orang tua saya di Seremban beberapa minggu lalu, tiba-tiba kami dikunjungi oleh seorang lelaki yang tidak saya kenali namun nampaknya dikenali mesra oleh kedua orang tua saya.

Lelaki ini berbangsa Indonesia berketurunan Minang berpakaian kemas dengan beg sandang yang agak besar di bahunya. Setelah bertanya khabar lebih kurang, ibu saya mengeluarkan beberapa pasang kasut dari almari lantas menyerahkannya kepada lelaki tersebut. Setelah membelek-belek kasut-kasut yang diserahkan kepadanya, beliau mengeluarkan beberapa barangan yang berupa peralatan membaiki kasut. Oohhh! Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah seorang tukang kasut!

Dalam masa beberapa beberapa minit sahaja, diselang-selikan dengan perbualan mesra, maka selesailah tugas beliau membaiki kasut-kasut tersebut. Setelah upah diberikan, lelaki tersebut beredar ke rumah sebelah pula… dan beberapa rumah lagi yang berikutnya. Nampaknya lelaki tukang kasut itu agak dikenali ramai penduduk di kawasan tersebut. Popular jugalah, kata abah saya.

Rupa-rupanya lelaki tukang kasut itu memang datang ke kawasan perumahan tersebut pada sebelah pagi setiap hari Sabtu. Menurut cerita abah saya, lelaki tersebut merupakan tukang kasut bergerak sepenuh masa dan beliau mempunyai ramai pelanggan tetap di seluruh bandar Seremban.

Saya tertarik berkongsi kisah ini dengan anda kerana lelaki ini amat bijak mengenalpasti peluang mencari rezeki. Secara tradisinya, jika nak baiki kasut, kita akan cari tukang kasut di kedai atau di kaki lima kedai. Saya berfikir sejenak… memang setiap kita ada kasut yang perlu diperbaiki. Namun, disebabkan leceh nak pergi mencari tukang kasut… nak cari parking, malas nak menunggu, tak yakin nak tinggalkan kasut kita untuk dibaiki dan bermacam alasan lagi, maka terperaplah kasut tersebut tak diperbaiki. Oleh itu tak hairanlah khidmat tukang kasut bergerak ini amat dihargai. Yalah… dia repair kasut kita tu on-the-spot, dirumah kita pula tu! Betapa bagusnya dan sungguh memudahkan. Kata orang putih… ‘very convenient!’

Yang menariknya, bila dia sampai di depan rumah, pemilik rumah biasanya akan cuba beri bisnes kepadanya walaupun sebenarnya tiada kasut yang perlu diperbaiki. Maka diberikanlah tugasan menukar tapak ataupun memasang ladam. Setidak-tidaknya masuk jugalah minima 4-5 ringgit… Itu sebuah rumah, kalau sehari dia dapat 15-20 rumah?

Moralnya di sini ialah… betapa gigih dan kreatifnya golongan pendatang mencari rezeki di negara kita ini. Cuma kita yang tidak menyedarinya dan leka dengan nikmat yang tuhan limpahkan kepada bumi Malaysia ini. Soalnya mahu atau tak mahu sahaja. Tak nak berusaha lebih, nak senang sahaja… mana duit nak masuk?

Teringat pula dengan isu Hindraf yang mengguris hati ramai masyarakat Malaysia baru-baru ini. Betapa tidak wajarnya tindakan dan tuntutan mereka itu, kononnya hak dan kehidupan mereka dianaktirikan dan telah dinafikan secara sistematik. Kononnya kerana kerajaanlah mereka hidup susah dan miskin.

Mereka lupa mereka berada di Malaysia, bumi yang bertuah. Kepada semua rakyat Malaysia, berusahalah!… Pasti kita takkan kelaparan. Belajarlah dan cari ilmu… kerana hanya dengan ilmu kehidupan kita akan sekeluarga lebih terjamin. Apalah yang boleh diharapkan dengan perbuatan meminta-minta. Hanya kita yang boleh mengubah nasib kita sendiri, bukan kerajaan, bukan orang lain… tetapi kita sendiri.

Tak gitu?