Saya yakin semua orang tahu kontroversi ‘Anugerah Penyapu’ yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo. Sesungguhnya saya hormat beliau kerana berani mencuba pendekatan reverse psychology demi meningkatkan prestasi agensi dan kakitangan kerajaan negeri.

Sebab itulah saya kurang faham apabila banyak pihak yang emosi dan mengkritik anugerah penyapu tersebut. Pastinya mereka hanya melihat dari perspektif yang negatif belaka, bukannya dari perkara positif yang akan terhasil selepas itu.

Untuk jadi bangsa maju, kenalah ubah sikap. Adakalanya saya lihat sikap lemah-lembut, berbudi-bahasa dan mentaliti ‘tak apa’ telah banyak merencat sedikit sebanyak kemajuan bangsa kita. Maka jadilah kita bangsa yang perlahan kemajuannya kerana sikap manja, tak boleh ditegur dan kurangnya semangat bersaing atau semangat menjalankan tugas dengan sempurna. Maka itu, hasilnya pun tak sempurna atau ala kadar sahajalah.

Kenapa saya sokong anugerah penyapu tersebut? Sebenarnya saya sendiri pernah terima anugerah penyapu suatu ketika dahulu. Berminat nak tahu cerita saya?

Semasa dalam tingkatan tiga, saya dilantik sebagai ketua kelas. Kelas saya merupakan kelas yang tertinggi dan dihuni oleh pelajar-pelajar yang terbaik dan semuanya bijak-bijak belaka. Kami ketika itu hanya mementingkan pencapaian akademik sahaja dan mengabaikan aspek kebersihan dan suasana pembelajaran yang kondusif. Kami fikir itu tidak membawa apa-apa faedah kepada pencapaian akademik kami. Maka bila pihak sekolah mengumumkan pertandingan kelas tercantik setiap bulan, kami buat tak tahu sahaja.

Apabila tiba hari pengumuman untuk bulan pertama, tanpa diduga rupanya turut ada hadiah untuk kelas terkotor… dan kelas kamilah telah dinobatkan sebagai kelas terkotor tersebut. Pengetua sekolah telah menjemput ketua kelas untuk menerima hadiah berupa sebatang penyapu yang dilekatkan dengan riben yang besar dan cantik.

Bagai nak pitam apabila tiba-tiba saya tersedar bahawa sayalah ketua kelas dan sayalah yang terpaksa nak ke pentas menerima hadiah penyapu tersebut! Aduhai malunya saya… Dalam riuh-rendah, hilai ketawa dan sorakan berunsur ejekan dari semua pelajar dan guru, saya sempat menjeling ke arah guru kelas kami, Mr Sonny Tilaka yang merah padam wajahnya walaupun beliau berkulit gelap! Aduh! Gawat sekali perasaan saya ketika itu.

Hari itu dan beberapa hari berikutnya kami semua belajar dalam keadaan muram. Ejekan dari pelajar kelas lain menambahkan lagi luka di hati kami. Ramai pelajar kelas lain dan guru yang datang untuk melihat hadiah penyapu yang kami terima. Jika selama ini kami dipuji kerana pencapaian akademik dan mengharumkan nama sekolah kerana memenangi banyak pertandingan kuiz sains dan matematik di peringkat daerah atau negeri, kini semua kebanggaan itu telah lenyap! Saya sebagai ketua kelas benar-benar tertekan dengan perkara tersebut.

Berikutan itu, saya telah mengaturkan mesyuarat kelas dan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk menebus malu. Sungguh tak disangka, semua rakan sekelas sepakat bersatu dan berganding tenaga untuk mengubah keadaan. Dalam masa beberapa minggu sahaja dapat dilihat perubahan ketara dalam kelas kami.

Diringkaskan cerita, dalam pertandingan bulan ketiga, kelas kami diumumkan sebagai kelas terbersih dan tercantik! Lebih mengejutkan, pengetua sekolah telah meminta semua 39 pelajar kelas kami dan guru kelas naik ke pentas untuk menerima anugerah tambahan iaitu Hadiah Kepimpinan dan Hadiah Kerja Kumpulan Terbaik!

Itulah kesan positif hasil musibah anugerah penyapu yang kami terima. Tanpa disedari saya telah memupuk sikap kepimpinan dalam diri saya dan kami sekelas telah belajar untuk bekerjasama sebagai sebuah kumpulan. Ternyata sejak itu hubungan kami semakin rapat dan lebih penting lagi, prestasi akademik kami semakin meningkat!

Maka itu, tidaklah salah jika saya melihat tindakan MB Selangor itu amat positif sekali. Pasti agensi berkenaan akan meningkatkan prestasi mereka. Akhirnya siapakah yang untung? Pastinya rakyat yang beruntung dan menikmati peningkatan prestasi perkhidmatan agensi kerajaan!

Sekurang-kurangnya saya lihat MB Selangor berusaha dan membuat sesuatu untuk meningkatkan prestasi jabatan kerajaan. Yang lain? Hanya tahu mengkritik dan bercakap sahaja.

p/s: Terima kasih Tuan Haji Mohd Zain, bekas pengetua SMKGV, Seremban atas Hadiah Penyapu tersebut. Ia memberi kesan positif kepada diri saya sehingga hari ini!