Sempena Ramadan yang mulia ini, saya terpanggil berkongsi minda berkaitan topik di atas. Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis mengenainya tetapi memandangkan suasana semasa yang difikirkan bersesuaian, saya siarkan kali ini. Tulisan ini adalah sekadar pendapat ikhlas, pandangan dan harapan penulis semata-mata tanpa niat menuding jari kepada sesiapa. Semoga anda membaca artikel ini dengan hati yang terbuka, lapang dada dan menjadi renungan untuk sama-sama kita fikirkan.

Renungkan…

Kisah 1

Surau tempat saya berjemaah ini dianggap bertuah kerana mempunyai dana yang mewah hasil sumbangan ahli kariah yang rata-ratanya berduit dan berada. Dengan kutipan ribuan ringgit sebulan, surau kecil ini dianggap ‘kaya’ berbanding kebanyakan surau lain yang sering ‘kering’ kerana kekurangan sumbangan.

Sayangnya… dana kutipan bulanan ini disalurkan dihabiskan? kepada tujuan yang saya lihat tidak mendatangkan faedah kepada keseluruhan ahli kariah.

Jawatankuasa surau ini dengan tidak cerdiknya menghabiskan sebahagian besar dana kutipan untuk membayar upah penceramah yang datang berceramah berkempen setiap hari! Jika sehari upah berceramah ialah RM100, kalau dah 30 hari? Perkara ini telah berlanjutan sekian lama!

Untuk makluman… tindakan ini tidak dipersetujui majoriti jemaah dan kariah, namun barisan AJK surau yang tidak menghiraukan kepentingan semua jemaah (walaupun telah dibawa berbincang) mengakibatkan surau ini kurang diminati lagi untuk dikunjungi. Maka surau itu kini didominasi hanya 15-20 orang yang setiap hari setia mendengar ceramah yang berdegar-degar itu!

Kisah 2

Masjid tempat saya sering kunjungi ini juga berstatus ‘kaya-raya’, lengkap dengan pejabat pengurusan masjid, dewan orang ramai dan berhawa dingin. Maklumlah ahli jemaahnya ramai orang korporat dan berpangkat besar. Setiap kali menderma, bukan sikit-sikit jumlahnya. Dalam laporan kewangan yang dibentangkan ketika merancang aktiviti bulan Ramadan baru-baru ini, masjid ini ada dana hampir RM100,000 dalam akaun bank! Mewah, kan?

Namun, dana yang besar itu tidak dimanfaatkan sebagaimana sepatutnya. Aktiviti harian dan bulanan sama sahaja seperti surau atau masjid lainnya. Tiada perbezaan inisiatif? jika diambilkira dana sebesar itu.

Diri ini hanya menggeleng kepala apabila keputusan jawatankuasa masjid memperuntukkan RM1000 sehari bagi mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai. Bubur lambuk ini pula bukannya disediakan secara gotong-royong, sebaliknya kontrak diberikan kepada sebuah syarikat katering bagi menyediakan bubur lambuk tersebut semata-mata melambangkan kemeriahan bulan Ramadan.

 

Ulasan, luahan hati, pandangan dan harapan…

Apakah surau atau masjid hanya tempat bersolat dan mendengar ceramah?

Mengapa kita tak mengikuti contoh yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dalam mengimarahkan masjid? Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, surau atau masjid merupakan pusat sehenti masyarakat di mana di situlah tempat berkumpul, berbincang, bermesyuarat, berniaga dan menuntut ilmu. Masjid pada ketika itu bukan sahaja terhad sebagai tempat menuntut ilmu agama, malah juga ilmu sains, matematik, sastera, perubatan, geografi, sejarah dan juga astronomi.

Mengapa kita tidak boleh mengembalikan kegemilangan surau dan masjid seperti itu lagi?

Realitinya, saya kecewa dengan pengurusan surau dan masjid yang saya ceritakan di atas kerana gagal menegakkan fungsi surau dan masjid sebagai pusat ilmu dan masyarakat. Bukankah lebih baik separuh peruntukan untuk penceramah itu dibelanjakan untuk membiayai program kelas agama, kelas al-Quran, kelas tuisyen setiap bulan untuk anak-anak kita?

Bukanlah lebih baik perbelanjaan besar untuk bubur lambuk itu disalurkan ke arah pendidikan dan penyatuan masyarakat setempat? Bubur lambuk itu bukannya diedarkan kepada fakir miskin tetapi kepada penduduk setempat yang menganggap bubur lambuk tidak lebih daripada sebagai simbol kemeriahan Ramadan semata-mata. Tidakkah itu sia-sia dan pembaziran namanya…

Belanja RM30,000 untuk bubur lambuk dalam bulan Ramadan itu saya fikir mencukupi untuk membina sebuah makmal komputer atau mini library untuk kegunaan anak-anak orang Islam untuk jangkamasa yang panjang.

Saya mengimpikan surau dan masjid di kawasan saya ini mesra kepada semua lapisan masyarakat Islam. Dalam kata lain, surau dan masjid menjadi tumpuan dalam aktiviti harian masyarakat. Segala dana kewangan yang ada disalurkan bagi kepentingan membina, menyatukan dan memperkukuhkan ummah tanpa melebihkan kepentingan mana-mana pihak tertentu.

Apa salahnya sekembali dari sekolah, anak-kita kita pergi ke kelas agama atau menghadiri kelas tuisyen yang dijalankan di surau atau masjid? Apakah salahnya memanfaatkan dewan orang-ramai dalam kawasan masjid itu sebagai tempat ulangkaji atau menyiapkan kerja-kerja sekolah? Atau disediakan perpustakaan mini dan makmal komputer? Bukanlah lebih baik anak-anak kita berada di dalam kawasan surau dan masjid daripada berkeliaran di luar sana? Barulah surau dan masjid dekat di hati anak-anak kita.

Apa salahnya kursus menjana ekonomi bagi lelaki dan wanita diadakan di masjid? Sekiranya diadakan kursus pengenalan perniagaan internet atau Forex di masjid, adakah itu suatu kejanggalan? Bukankah salah satu fungsi utama masjid adalah sebagai pusat pengembangan ilmu?

Sayangnya peranan masjid diasingkan daripada kehidupan masyarakat hari ini. Maka sebab itulah ia hanya dikenali sebagai tempat untk bersembahyang dan berceramah sahaja pada hari ini.

Sekumpulan makmum telah cuba menyampaikan pandangan dan cadangan ini kepada AJK surau dan masjid yang saya ceritakan tadi namun reaksi mereka agak negatif. Lebih tepat lagi jika saya katakan mereka melenting dan berfikir serong, seolah-olah jawatan mereka hendak dirampas. Subhanallah! Apalah gunanya pangkat dan kedudukan jika… hmm entahlah.

Saya kagum dengan Yayasan Al-Bukhari yang telah memperkenalkan konsep pembinaan masjid yang bakal mengembalikan kegemilangan masjid sebagai sumber ilmu dan simbol penyatuan masyarakat Islam.

Kompleks baru Yayasan Al-Bukhari di Kedah termasuklah masjid yang dikelilingi sekolah agama, rumah anak-anak yatim, rumah orang2 tua, taman rekreasi, makmal komputer, perpustakaan dan juga deretan kedai… semuanya dalam satu kawasan kompleks yang sama!

Formulanya, bina masjid di tengah-tengah pusat tumpuan masyarakat, bukannya di pinggiran! Sebab itu kita perlukan lebih ramai pemaju perumahan Islam!

Semoga surau dan masjid akan kembali memainkan peranan sebenarnya dalam kehidupan masyarakat Islam tak lama lagi, insyaallah. Sama-samalah kita berdoa.

 

 

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Technorati
  • del.icio.us
  • YahooMyWeb
  • StumbleUpon
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • MisterWong
  • Wists
  • blinkbits
  • BlinkList
  • blogmarks
  • BlogMemes Fr
  • blogtercimlap
  • De.lirio.us
  • Fark
  • feedmelinks
  • Fleck
  • Furl
  • Ma.gnolia
  • MyShare
  • Netscape
  • NewsVine
  • PopCurrent
  • Smarking
  • Reddit
  • TailRank