Dalam sebulan dua ini, saya amat kerap menerima panggilan telefon dan pertanyaan dari banyak pihak samada mengenai ebook-ebook saya ataupun mengenai perniagaan internet secara umum. Sesungguhnya ia bukanlah perkara baru bagi saya, namun saya perasan ada sedikit keganjilan dan kelainan berbanding sebelumnya.

Keganjilan dan kelainan yang bagaimana? Saya boleh kategorikan kepada 2 situasi..

Pertamanya, panggilan pertanyaan mengenai ebook-ebook saya meningkat sebanyak 30%! Dari satu sudut ianya adalah pertanda positif yang mana jualan agak konsisten walaupun ebook-ebook berkenaan telah lebih setahun memasuki pasaran. Namun seperkara yang menghairankan saya, kebanyakan pemanggil meminta untuk datang berjumpa dan membuat pembayaran kepada saya sendiri walaupun mereka menyedari produk saya adalah dalam bentuk ebook dan boleh dibeli secara online sahaja.

Bila ditanyakan mengapa, kebanyakan mereka menyatakan kurang yakin dengan kaedah pembelian secara online di internet!

Keduanya, ramai juga pemanggil bertanya bagaimana boleh buat duit dengan cepat di internet? Adakalanya cara pemanggil bertanya dengan nada mendesak telah menaikkan darah saya, malah ada yang telefon pada pukul 3 pagi! Namun syukurlah saya cuba jelaskan kepada mereka dengan cara berhemah sebaik mungkin.

Saya tanyakan kepada mereka ini, “awak tanya ni dengan niat nak tahu tentang perniagaan internet atau nak buat duit mudah dari internet semata-mata?”

Seingat saya, dari 50 orang pemanggil sebegini, hanya 3 orang sahaja yang menyatakan berminat nak tahu tentang selok-belok perniagaan internet. Saya nasihatkan mereka bertiga ini dapatkan bahan bacaan mengenai asas perniagaan internet atau sertai seminar mendapatkan lebih kefahaman.

Yang lainnya berterus-terang nak buat duit dengan cepat dan mudah di internet… tak mainlah ebook, adsense atau forex. Mereka hanya berminat kepada penjanaan wang secara automatik tanpa perlu berfikir dan berusaha lebih, kata mereka.

KESIMPULANNYA

Kedua-dua situasi di atas saya rasakan bermula sejak pengharaman kerajaan ke atas skim pelaburan dan skim cepat kaya di internet!

Dalam situasi pertama, pelbagai cerita negatif mengenai pelaburan internet dan skim cepat kaya sedikit-sebanyak memberi kesan kepada perniagaan internet. Masih ramai yang tidak memahami lantas menganggap segala bentuk dan jenis perniagaan internet adalah berisiko dan sukar dipercayai kesahihannya.

Namun syukurlah, bila saya terangkan perkara sebenarnya, barulah keyakinan mereka tumbuh semula. Malah saya berjaya yakinkan mereka agar mencuba kaedah pembelian secara online daripada saya dan alami sendiri betapa mudah, pantas dan cekapnya sistem pembelian di internet. Harapan saya, selepas ini mereka lebih yakin membeli secara online. Maklumlah… dah ada pengalaman! :)

Bagi situasi kedua, ia menunjukkan ramai lagi kaki skim pelaburan cepat kaya masih tak serik-serik dengan apa yang telah berlaku sebelum ini. Minda dan fikiran mereka hanya berminat kepada cara mudah dan cepat buat keuntungan tanpa mahu berusaha seperti sepatutnya.

Bolehkah anda bayangkan perasaan anda bila ditanya, “tolong beritahu saya skim cepat kaya yang mana satukah paling selamat, saya tak mahu rugi!”

Aduh!.. Berpinar sekejap kepala saya ni! Semoga tuhan bukakan hati mereka ke arah menjana pendapatan yang bersih dan halal.

p/s: bagaimana kita nak ubah mentaliti Melayu suka buat duit cara mudah ni? Orang Cina pun memang suka buat duit dan berjudi, tetapi mereka berusaha & kerja kuat!