Cerita masalah perniagaan dan kerugian yang dialami oleh Proton, syarikat pengeluar kereta nasional telah menjadi buah mulut beberapa tahun ini. Secara peribadi, fenomena ini mengejutkan saya kerana sebelum ini Proton amat berbangga dengan kecairan dana tunai yang mencecah bilion ringgit. Tiba-tiba, keluar pula cerita Proton mengalami masalah sehingga mencatatkan kerugian ratusan juta ringgit (setakat tahun kewangan 2006).

Maka bermacam kata nista yag dilemparkan oleh rakyat Malaysia sendiri terhadap keluaran kereta Proton berikutan kerugian perniagaan yang dicatatkan ini. Antaranya model lama yang masih dijual sudah terlalu ketinggalan zaman, kualiti kereta yang rendah, rekabentuk kereta baru yang tidak selari dengan selera pengguna dan pelbagai lagi.

Terbaru, dikhabarkan Proton akan melancarkan model terbarunya - Gen2 Sedan pada 15 Ogos 2007 ini dan dikatakan model terbaru ini bakal meletakkan semula Proton sebagai pengeluar kereta yang unggul. Dalam kata lain, model terbaru ini bakal mengembalikan semula keyakinan pengguna kepada kereta keluaran Proton.

Sebagai pengguna setia kereta keluaran Proton, saya menganggap keluaran kereta sedan terbaru ini merupakan satu tindakan bijak yang akan mengembalikan kegemilangan Proton sebagai pengeluar kereta pilihan rakyat Malaysia.

Sebenarnya saya tak nafikan, saya juga kecewa dengan keluaran beberapa model sebelum ini seperti Gen2 dan juga Savvy. Walaupun kedua-dua model ini dihasilkan dengan kepakaran dan teknologi tempatan, saya berpendapat 2 model tersebut gagal mengisi keperluan keseluruhan rakyat Malaysia.

Maksud saya, bermula dengan model Saga, kita ditawarkan varian yang lebih baik atau sesuai dengan peningkatan tahap ekonomi pengguna seperti Wira, Waja dan juga Perdana. Terdapat juga model yang khusus untuk golongan muda atau pasangan muda seperti Satria, Satria GTi dan Neo. Maknanya pengguna ada pilihan membeli kereta sesuai dengan peningkatan pendapatan dan juga saiz keluarga.

Dan mengikut jangkaan saya, selepas Perdana, sewajarnya Proton menimbangkan untuk mengeluarkan varian MPV pula; selaras dengan trend semasa. Seperti yang saya katakan tadi, sesuai dengan peningkatan ekonomi dan pertambahan saiz keluarga pengguna! Sebab itulah saya berasakan pengeluaran Gen2 dan Savvy yang berkonsepkan kompak seakan-akan merencatkan kesinambungan rangkaian kereta untuk rakyat Malaysia.

Saya mengharapkan agar Proton tidak mengulangi kesilapannya mengabaikan pasaran kereta sedan pada masa akan datang.

Dengan bakal munculnya sedan terbaru ini, saya mengharapkan Proton akan ‘kembali’. Sesungguhnya saya yakin dan berbangga dengan kebolehan Proton!

Nota/kredit: Gambar ilustrasi kereta dalam post ini saya perolehi dari blog Paul Tan, seorang blogger tempatan terkenal yang khusus kepada bidang permotoran. Anda boleh lihat lebih banyak info dan gambar mengenai kereta Gen2 Sedan ini dalam blog beliau http://paultan.org/archives/2007/04/19/proton-gen2-sedan-spotted/