Seperti biasa, saya memang selalu mencari idea-bisnes sensasi yang dijalankan oleh usahawan di seluruh dunia. Bukan idea sembarangan, tetapi idea-idea bisnes yang di luar kebiasaan dan logik fikiran kita. Idea-idea bisnes yang tak terfikir oleh minda ‘biasa-biasa’ kita ini…

Baru-baru ini saya terbaca satu rencana dalam laman web BBC News, UK. Idea bisnes ini dan kisah bagaimana ia bermula amat menarik perhatian saya. Idea bisnes ini telah dibentangkan kepada Dragon’s Den, kumpulan pemikir dan pelabur terkemuka di Britain untuk tujuan mendapatkan pembiayaan. Namun idea ini telah ditolak. Salah seorang pakar dari Dragon’s Den bernama Rachel Elnaugh berkata, “Inilah idea bisnes paling mengarut yang saya pernah dengar!” Fuh! Begitu menghinakan…

Namun begitu, pencipta idea bisnes ini meneruskan usahanya untuk membuktikan pakar-pakar pemasaran di Dragon’s Den salah. Kini, idea bisnesnya yang dikenali sebagai StableTable telah mencatatkan jualan sebanyak £500,000!

Segalanya bermula apabila Andrew Gordon dari Surrey, England dan rakan-rakannya pergi minum-minum (mabuk-mabuk?) di sebuah pub. Secara kebetulan, meja yang mereka gunakan itu bergoyang kerana kaki meja tersebut yang tidak sekata.

Keesokan harinya, Andrew bangun dengan pening-pening lalat kerana minum terlalu banyak. Teringatkan meja di pub yang bergoyang semalam, beliau tersenyum lalu mendapat idea dengan membuat penahan/penstabil kaki meja dengan mengoyak kotak bijirin (alah, macam kotak Cornflakes tu).

Memang meja yang diduduki mereka semalam bergoyang teruk sehingga salah seorang daripada mereka mencadangkan  agar mereka berpindah ke meja lain yang lebih stabil… “Let’s move to a stable table!”, begitulah agaknya katanya… Maka itulah ilham menamakan produk ciptaannya StableTable!

Ciptaan Andrew mudah sahaja. Ia merupakan 8 keping plastik nipis yang diikat seperti gugusan anak kunci (lihat gambar). Jadi kita bolehlah gunakan beberapa keping plastik tersebut untuk menstabilkan mana-mana meja makan yang kita gunakan! Lagipun ia mobile… boleh dibawa ke mana-mana sahaja!

StableTable ini dijual pada harga £3.99 untuk 3 set. Idea yang bermula secara suka-suka atau main-main ini telah menghasilkan kejayaan.

Setakat ini, jualan amat laris dan permintaan amat tinggi. Lebih menarik, antara pelanggan terbesarnya ialah Persatuan Pegawai-Pegawai Peperiksaan Britain (200,000 unit), Cambridge University dan Bilik Hidangan Teh di Istana DiRaja Kensington!

Ianya bukti idea mudah dari pengalaman harian mampu mengubah kehidupan. Just 1 good idea, it will change your life!

p/s: kalau jumpa produk ni, saya pasti beli. Dah lama tension dengan meja-meja makan yang tak stabil… kedai mamak, gerai tomyam, KFC, McDonalds… semua sama sahaja!