peniaga geraiSeringkali kita terdengar sebahagian masyarakat  seakan memandang rendah terhadap kerjaya usahawan sepenuh masa. Entah di mana silapnya, ada golongan berpendapat kerjaya usahawan (melainkan bisnes dah besar dan establish) tidak memberi jaminan.

Ada ketikanya dalam majlis merisik atau meminang, mahu tak mahu keluarga si gadis akan menanyakan perkerjaan si teruna. Jika si teruna itu makan gaji dan berpangkat tinggi, maka dengan besar hati pinangan itu bakal diterima.

Namun jika dinyatakan bahawa si teruna itu berniaga atau seorang usahawan, akan ditanya dengan nada sinis atau was-was… bisnes apa? Dah lama ke bisnes ni? Kat mana? Bisnes kecik ke bisnes besar? Untung ke? Banyak pula soaljawabnya…

Namun soalan ini tidak akan timbul jika si teruna tadi diketahui memandu kereta besar dan bergaya mewah. Pokoknya, bisnesman yang berjayalah tu…

Persoalannya, mengapa ada sikap double-standard sebegini terhadap kerjaya usahawan? Apakah kerjaya usahawan itu suatu taboo di mana ia sering dikaitkan dengan kegagalan? Saya pernah diberitahu seorang sepupu saya bahawa ayahnya (uncle saya) menentang hasratnya bisnes sepenuh masa. Jerkahnya, “Kau tak takut bankrap, ke?” 

Kalaulah uncle saya tu tahu bahawa pendapatan bisnes sampingan anaknya itu telahpun melebihi hampir 2 kali ganda daripada gajinya sebagai graphics designer!

Mengapa ada sikap sebegini dalam masyarakat kita? Apakah kerana salah penjajah yang telah menerapkan sindrom ‘hidup dalam zon selamat’ dengan berpuashati hidup makan gaji sahaja… justeru menghapuskan semangat dan keberanian mengambil risiko atau menghadapi pelbagai rintangan dalam menjayakan sebuah keusahawanan?

Mengapa bangsa kita masih tidak membudayakan semangat berniaga dan bekerja sendiri sebagaimana bangsa Cina? Bagaimana menangani pandangan serong ini terhadap kerjaya usahawan?

Jika inilah keadaannya, bagaimana usahawan muda yang baru memulakan langkah keusahawanan boleh meyakinkan bakal pasangan dan keluarga tentang kerjaya mereka?

Melalui pengalaman hidup saya sendiri, seorang usahawan seHARUSnya mencari pasangan yang memahami liku hidup seorang usahawan. Amat penting bagi isteri atau suami kita itu memahami bahawa dalam kehidupan seorang usahawan, langit tidak selalu cerah.

Ada ketikanya bisnes amat baik tetapi hakikatnya LEBIH BANYAK ketikanya bisnes merosot sedikit disebabkan pelbagai faktor: musim cuti, musim perayaan, bencana alam, persaingan, kemelesetan ekonomi dsbgnya.

Namun begitu, usahawan juga mesti tahu cara meyakinkan pasangan tentang jaminan hidup sebagai usahawan sepenuh masa. Sebenarnya, ia bergantung juga kepada diri usahawan itu sendiri utk menunjukkan kewibawaan dirinya sebagai usahawan iaitu pandai mengurus kewangan dan kestabilan perniagaannya, selain bijak menguruskan keharmonian rumahtangga.

Bagi diri saya, usahawan yg berhemah ialah usahawan yg sentiasa BERINGAT & sentiasa menyediakan PAYUNG ketika mewah untuk menghadapi saat-saat sukar. Ini kerana kehidupan seorang usahawan tidak akan lepas dari menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran.

Hanya dgn sikap beringat inilah, insyaallah rumahtangga kita akan aman dan harmoni tak kira apa keadaaan perniagaan kita itu.

Namun malangnya… yang sering kita dengar, ramai usahawan (tak semua) lebih cenderung untuk berjoli dan bermewah dengan keuntungan yang diperolehi pada peringkat awal perniagaan mereka. Bila datang dugaan sedikit, langsung mereka ini terduduk kerana tiada ‘backup’!

Inilah yang dikatakan sikap keusahawanan yang belum cukup matang dan berilmu.

Jangan lupa, adalah fitrah manusia ingin mendapatkan pasangan hidup dan hidup aman bahagia. Antara faktor kebahagiaan ialah kestabilan kewangan. Jadi, jangan salahkan pasangan atau keluarga jika meragui kerjaya kita sebagai usahawan. Usahawan itu sendiri yang mesti menunjukkan kewibawaan mereka.

Adakah mereka akan bising jika melihat usahawan itu ’steady’ sahaja sepanjang masa? Jika tidak lebihpun, hidup usahawan tersebut setanding dgn orang lain yg makan gaji. Ada rumah, ada kereta, anak-anak terbela dengan sempurna. Namun jika sebaliknya, siapa akan pandang tinggi kepada kita jika bisnes tunggang langgang, kewangan tenat dan diri sendiripun sudah tidak keruan?

Adakalanya, penting juga untuk usahawan menunjuk-nunjuk sekali-sekala kemampuan mereka agar dapat membuka mata hati dan fikiran masyarakat kita terhadap kerjaya yang suci dan mulia ini.

Hakikatnya, golongan usahawan adalah istimewa kerana mereka ini terdiri daripada insan yang berani mempertaruhkan rezeki dan masa depan mereka atas daya usaha mereka sendiri, bukannya mengharapkan gaji, bonus dan ihsan daripada orang lain yang bergelar majikan.

Anda ada sebarang komen? Saya ingin mendengar pendapat anda.